Derita Dalam Senyap, Jangan Suruh Orang Depresi Bersabar-“Ayat Paling Dibenci”

 


Secara zahirnya kelihatan sihat dan gembira, namun hanya penghidap depresi sahaja yang tahu betapa merananya jiwa dalaman mereka. Pada waktu siang, golongan ini dilihat menjalankan kehidupan seperti biasa seolah-olah hidup bebas daripada masalah. Namun apabila malam menjelma, terlalu banyak perkara meresahkan yang singgah di benak fikiran sehingga mereka mengalami kesukaran untuk tidur. Apabila sudah menderita dalam senyap terlalu lama, sesetengahnya nekad mengakhiri nyawa sendiri dengan niat mahu menghentikan kesengsaraan diri.

Sikap suka pendam masalah menyebabkan gangguan jiwa 

Bercakap mengenai masalah kemurungan seperti ini, sebenarnya banyak faktor penyebab yang boleh dibincangkan. Salah satunya adalah sikap suka memendam masalah selain enggan berkongsi atau meluahkan segala yang terbuku di hati. Apabila keresahan tidak ‘dilepaskan’ dengan saluran betul, situasi berkenaan memberikan tekanan sekali gus membentuk konflik gangguan jiwa.



Golongan wanita mudah menghidap depresi…Fikir isu rumah tangga 

Menurut laporan daripada Harian Metro, golongan wanita khususnya di zaman sekarang lebih cenderung untuk berhadapan dengan risiko depresi. Selain masalah kewangan dan kemelut di tempat kerja, mereka menjadi resah lagi-lagi apabila terlalu memikirkan tentang isu-isu rumah tangga. Tidak kira ahli keluarga mahupun kenalan rapat, orang sekeliling harus lebih peka dengan perubahan sikap mereka selain menawarkan diri untuk menjadi seorang pendengar.


Cuma mahu tempat meluahkan perasaan untuk teruskan hidup 

Namun melalui perkongsian daripada myhealth.gov, terdapat beberapa ayat yang tidak sesuai untuk disebut di hadapan penghidap depresi ini. Antaranya adalah “banyakkan sabar”, “janganlah overthingking“,”masalah orang lain lebih besar”, “kau patut bersyukur”, “hidup perlu diteruskan” dan banyak lagi. Mungkin ia kedengaran positif, malangnya penghidap depresi akan bertambah murung dan sangat bencikan ayat sedemikian rupa. Apa yang dimahukan hanyalah tempat meluahkan perasaan selain mendapatkan sokongan untuk meneruskan hari-hari mereka.


Baca : 350-kosakata-bahasa-arab-sehari-hari.